Diari Sihat
Tanda-Tanda Menopaus, Bukan Penamat Nilai Kewanitaan

Tanda-Tanda Menopaus, Bukan Penamat Nilai Kewanitaan

Sebagai wanita sangat penting untuk tahu tanda-tanda menopaus yang bakal hadir dalam hidup kita.

Menopaus tetap hadir dalam kitaran hidup seorang wanita sama ada cepat atau lambat.

Setiap wanita perlu positif melalui tempoh menopaus dan perlu ambil tahu apa yang terjadi dalam tempoh tersebut.

Murung dan cepat melenting mungkin fasa yang akan dilalui tetapi jika mempunyai ilmu yang cukup untuk menghadapi menghadapi tanda-tanda menopaus pasti tidak melalui cabaran yang sukar.

Apakah itu menopaus?

Menopaus merupakan satu fasa dalam kehidupan seorang wanita iaitu apabila kitaran haid sudah tamat.

Ini juga menandakan zaman reproduktif seseorang wanita itu telah berakhir (walaupun tahap kesuburan akan merosot seawal lima hingga sepuluh tahun sebelum menopaus).

Photo by shohib tri from Pexels

Menopaus terjadi apabila ovari wanita tidak lagi menjalani proses ovulasi dan berhenti menghasilkan hormon estrogen dan progesterone.

Penurunan paras hormon inilah yang akan menimbulkan perubahan dari segi fizikal dan emosi seseorang wanita.

Tahukah anda?

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Malaysia, purata usia menopaus bagi wanita Malaysia ialah 50.7 (51 tahun).

Walau bagaimanapun, usia ini adalah berbeza mengikut populasi yang dikaji, contohnya purata usia menopaus bagi wanita di Singapura adalah lebih awal iaitu pada usia 49 tahun manakala usia menopaus bagi wanita di Jepun pula adalah pada usia 53 tahun.

Pendek kata usia menopaus berbeza-beza dan bergantung kepada beberapa faktor seperti faktor genetik dan faktor sosioekonomi.

Kenapa terjadi menopaus yang dipaksa?

Menopaus Terpaksa atau Surgical Menopause berlaku apabila seseorang wanita mengidap penyakit sehingga perlu melakukan rawatan pembuangan rahim dan ovari.

Sekiranya wanita mengidap penyakit seperti fibroid atau adenomyosis, mereka akan menghadapi simptom seperti pendarahan haid yang teruk dan sakit semasa kedatangan haid.

Photo by destiawan nur agustra from Pexels

Sekiranya simptom tersebut tidak berkurangan dengan ubat-ubatan, pesakit perlu melakukan pembedahan.

Jika pembedahan tersebut hanya melibatkan pembuangan rahim, hanya haid yang akan berhenti.

Tetapi, selagi ovari masih ada dan berfungsi, wanita tersebut tidak menopaus atau mendapat simptom menopaus.

Sebaliknya, sekiranya pembedahan melibatkan pembuangan rahim dan ovari, wanita tersebut akan terus menjadi menopaus akibat ketiadaan hormon estrogen dan progesterone serta bakal menghadapi simptom-simptom menopaus.

Contoh-contoh penyakit lain yang boleh megakibatkan pembuangan rahim dan ovari, seterusnya mengakibatkan Surgical Menopause adalah seperti Endometriosis dan kanser seperti kanser Ovari, kanser rahim atau kanser serviks.

Bagaimana persediaan menghadapi tanda-tanda menopaus?

Setiap wanita perlu faham bahawa proses menopaus adalah satu proses normal yang akan dialami oleh semua wanita.

Menopaus akan disertai dengan beberapa perubahan dari segi fizikal dan emosi. Jadi, pengetahuan mengenai perubahan-perubahan ini adalah penting supaya wanita boleh menghadapinya dengan lebih tenang dan dengan hati yang terbuka.

Antara tanda-tanda menopaus paling kerap yang dialami oleh wanita Malaysia adalah;

  • Masalah susah tidur (sleeplessness),
  • Pening kepala (headache),
  • Kekurangan keinginan untuk seks (reduced sex drive).
  • Rasa panas (hot flushes).
  • Kulit kering (dry skin).
  • Mood tidak menentu (mood swings).
  • Kerap merasa marah (irritability).
  • Masalah urogenital

Info

Kajian telah menunjukkan wanita yang berpandangan negatif terhadap menopaus dan proses penuaan akan mengalami simptom yang lebih teruk dari wanita yang bersifat lebih terbuka menerima perubahan pada dirinya.

Kajian yang sama juga menunjukkan wanita di Malaysia tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai menopaus.

Wanita juga harus mengambil langkah proaktif dalam mendapatkan informasi mengenai menopaus dan simptom-simptomnya.

Pentingnya penjagaan kesihatan dan diet seimbang

Penjagaan kesihatan seperti mengamalkan makanan seimbang, berat badan ideal, penjagaan penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, melakukan senaman ringan dan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kerohanian juga boleh membantu wanita menghadapi menopaus dengan lebih baik.

Wanita juga perlu belajar menenangkan perasaan dan menguruskan stres dengan baik.

Wanita juga harus peka dengan kesihatan mereka dan mengambil bahagian dalam proses penyaringan kesihatan seperti pemeriksaan pangkal rahim (pap smear), pemeriksaan kepadatan tulang (bone mineralodensitometry), pemeriksaan sendiri payudara dan menjalani pemeriksaan payudara (mammogram).

Pengambilan ubat ubatan alternatif yang boleh dibeli di farmasi seperti Evening Primrose Oil dan Black Cohosh adalah dibolehkan setelah mendapatkan nasihat dari doktor.

Wanita wajib ambil tahu tanda-tanda menopaus di awal usia.
Photo by Chermiti Mohamed from Pexels

Persediaan ahli keluarga bantu wanita menghadapi tanda-tanda menopaus?

Ahli keluarga perlu memahami perubahan yang dialami oleh wanita yang sedang mengalami menopaus.

Perubahan dari segi fizikal dan emosi itu sering membuatkan wanita berasa diri sudah tidak berharga, kurang ciri-ciri kewanitaan dan kurang disayangi.

Malah mood swings kadangkala juga boleh menjadi punca pertelingkahan dengan suami dan anak-anak.

Ahli keluarga perlu mempunyai sikat toleransi yang lebih dan membantu wanita menghadapi proses menopaus ini.

Simptom menopaus selalunya akan berkurangan dan wanita boleh menjalani hidup seperti biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *